Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi agensinya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan penyelidikan yang membuktikan bahawa madu kelulut mempunyai testimoni dan kesannya dibuktikan secara saintifik.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron berkata, superfood ada­lah makanan yang kaya dengan nutrien yang sangat bermanfaat untuk kesihatan dan kesejahte­raan manusia.
Katanya, MARDI akan mem­bangunkan superfood madu kelulut yang akan diproses dan melalui pelbagai peringkat penyelidikan dan pembangunan.

“Dalam keadaan semasa, produk superfood di pasaran yang mempunyai nilai dan harga yang tinggi berbanding sumber superfood segar adalah seperti buah rasberi, ceri, teh hijau dan sebagainya.
“Menerusi penyelidikan yang akan dilaksanakan oleh MARDI nanti, ia akan melibatkan aktiviti penyelidikan untuk menilai superfood ber­ke­naan, antaranya dengan me­lakukan pemilihan madu yang tinggi khasiat antioksidan (mengikut kawasan pen­­ternakan).

“Selain itu, aktiviti penyelidikan turut melibatkan pembangunan teknologi pempro­sesan, pembangunan produk madu kelulut yang melalui penggunaan sumber-sumber lain seperti propolis dan bee bread atau mencampurkan dengan herba,” katanya dalam sidang akhbar di Serdang baru-baru ini.

Katanya lagi, produk superfood madu kelulut juga akan melalui ujian keselamatan dan keberkesanan seperti ujian terhadap tahap hemoglobin dalam darah dan ujian penurunan kadar gula serta kolesterol dalam darah, selain penyelidikan penyerapan bahan-bahan antioksidan dan perencatan sel kanser.
Sementara itu, Ketua Pasukan Penyelidiknya, Dr. Suri Roowi berkata, secara umum, bahan utama yang terkandung dalam madu kelulut adalah karbohidrat, protein dan asid amino, vitamin, mineral dan antioksidan serta bahan-bahan lain se­perti asid organik dan hidroksimetilfurfural.

“Madu kelulut pula biasanya mempunyai kandungan fruktosa, glukosa, maltosa dan sukrosa yang lebih rendah berbanding madu biasa.

“Asid fenolik, sejenis bahan antioksidan mudah serap juga hadir dalam madu kelulut dan kandungannya lebih tinggi berbanding madu tempatan atau madu import.
“Antara asid fenolik yang dijumpai dalam madu kelulut adalah asid benzoik, asid fenilpropanoik, asid 4-hidroksibenzoik, asid 4-hidroksifenil asetik, asid vanilic, asid protokatechuik dan asid p-koumarik,” ujarnya.
Jelasnya lagi, bahan-bahan tersebut mempunyai pelbagai kegunaan misalnya asid p-koumarik yang mempunyai aktiviti antioksidan tertinggi dan asid fenilpropionik yang juga efektif dalam menurun­kan tahap kolesterol.